BERITA AKADEMIK MAAC

Berita, Aktiviti & Pengumuman Terkini MAAC

Martabat profesion pensyarah

Martabat profesion pensyarah

AKHIRNYA tarikh 5 Oktober diangkat sebagai Hari Akademia Negara. Selama ini ucapan selamat dan jambangan bunga hanya diterima oleh para pensyarah universiti pada Hari Guru.

Walaupun kedua-dua profesion guru dan pensyarah adalah untuk mendidik tetapi objektifnya agak berbeza.

Objektif pendidikan awalan yang diterajui oleh sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan mungkin berbeza sedikit dengan matlamat Kementerian Pengajian Tinggi yang menjurus kepada melahirkan guna tenaga profesional negara.

Menyedari hakikat ini, kerajaan memilih 5 Oktober sebagai Hari Akademia Negara.

Rata-rata pensyarah universiti menyokong penuh langkah Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik untuk mengiktiraf hari itu.

Menurut Presiden Kongres Persatuan/Kesatuan Universiti Awam Malaysia (MAAC), Profesor Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin, langkah itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memartabatkan profesion pensyarah universiti.

Ia sekali gus menghargai sumbangan besar pensyarah dalam melahirkan modal insan bagi pembangunan negara.

Presiden Kesatuan Akademik Universiti Teknologi MARA (MITASA), Dr Normaly Ismail mengharapkan perisytiharan itu perlu diiringi dengan skim perkhidmatan pensyarah universiti yang lebih baik oleh kerajaan.

Beliau menggesa kerajaan mengkaji balik skim perkhidmatan pensyarah dan satu pengumuman yang menarik perlu dibuat kerajaan sempena hari tersebut.

Menurut beliau, sudah lebih 12 tahun skim perkhidmatan pensyarah awam tidak dikaji semula dan langkah-langkah segera perlu diambil bagi memperbaikinya.

Skim perkhidmatan pensyarah perlu diangkat sebagai satu skim yang dipandang tinggi sebagaimana negara Asia lain seperti Jepun, Singapura dan Korea Selatan.

Seorang pensyarah kanan Universiti Unisza, Prof Madya Dr Fauzilah Salleh menyatakan Hari Akademia Negara sepatutnya sudah lama diberi pengiktirafan.

Ini kerana para akademia bukan sahaja melahirkan golongan profesional tapi turut melahirkan pensyarah institusi pengajian tinggi, malah guru-guru sendiri dididik oleh para akademia.

Beliau menegaskan bahawa Anugerah Akademik Negara telah diadakan sejak 13 tahun yang lepas, namun hari akademia tidak pernah diwujudkan.

Walaupun perisytiharan ini dilihat agak lewat dilaksanakan, namun beliau percaya ia mampu mengangkat martabat profesion akademik negara ke tahap lebih tinggi terutamanya apabila anugerah tokoh pensyarah diperkenalkan. * Prof Madya Dr Sarimah Ismail ialah Naib Presiden 1 Kongres Persatuan Akademik Universiti Awam Malaysia (MAAC)