BERITA AKADEMIK MAAC

Berita, Aktiviti & Pengumuman Terkini MAAC

Kaji semula bajet kewangan Universiti Awam - MAAC

Kaji semula bajet kewangan Universiti Awam - MAAC

PRESIDEN Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Datuk Prof. Dr. Mohd Idrus Mohd Masirin (duduk, tengah) berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Akademik Kebangsaan Universiti Awam Malaysia 2016 (KAKUAM 2016) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

NILAI: Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) meminta supaya kerajaan mengkaji semula bajet kewangan yang disalurkan kepada universiti awam bagi memastikan kualiti perkhidmatan institusi pendidikan berkenaan terus terjamin.

Presiden Kongres MAAC, Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin, berkata pengurangan itu dikhuatiri akan menjejaskan penyediaan kemudahan terutama membabitkan universiti yang mempunyai makmal, bengkel dan hospital.

"Kami berharap walau apa juga keadaan persekitaran semasa sekalipun, kita minta saluran dana universiti ini tidak dipotong terlalu banyak.

"Kami tidak kata kualiti universiti akan menurun kerana pensyarah akan melaksanakan tugasan mereka seperti biasa. Namun, kami bimbang ada perkara yang tidak dapat dilaksanakan secara sempurna seperti universiti yang menyediakan perkhidmatan perubatan," katanya selepas Majlis Penutupan Konvensyen Akademik Kebangsaan Universiti Awam 2016 (KAKUAM 2016) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, di sini, hari ini.
Majlis perasmian penutupan disempurnakan Timbalan Presiden II Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Mohd Shaman Jaes.

Sebanyak enam kertas kerja berkaitan kepimpinan akademik telah dibentangkan pada KAKUAM 2016 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Konvensyen anjuran Kongres MAAC yang menggabungkan semua 20 Universiti Awam (UA) seluruh negara itu bertujuan memartabat Kongres MACC sebagai platform utama menjaga kepentingan perkhidmatan 35,000 pensyarah di negara ini serta memperkasa profesyen akademik dan pendidikan tinggi nasional.