BERITA AKADEMIK MAAC

Berita, Aktiviti & Pengumuman Terkini MAAC

Universiti perlu beri peranan, pengiktirafan sewajarnya kepada Prof Emeritus - MAAC

Universiti perlu beri peranan, pengiktirafan sewajarnya kepada Prof Emeritus - MAAC

SEREMBAN, 16 Feb -- Para cendiakawan yang bergelar Profesor Emeritus perlu diberikan peranan dan pengiktirafan sewajarnya daripada universiti agar mereka boleh terus menyumbang kepada kemajuan akademik.

Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata ketika ini individu yang bergelar prof emeritus dilihat terpinggir selepas mereka menamatkan perkhidmatan di universiti dan ‘larut’ di dunia luar tanpa apa-apa peranan dan sumbangan.

“Kebanyakan mereka hanya menjadi ‘selebriti’ sehari semasa konvokesyen kerana terpilih sebagai prof emeritus...itu sahaja. Selepas acara tersebut, nasib mereka, keberadaan mereka, sumbangan mereka, tiada satu unit atau sekretariat di universiti yang memantau atau berusaha untuk mengadakan inisiatif atau program untuk mereka.

“Amat rugilah sekiranya sekiranya seseorang pakar akademik yang telah bersara dan semestinya telah melalui pelbagai pengalaman sepanjang perkhidmatan mereka, dibiarkan terpinggir begitu sahaja tanpa diberi apa-apa peranan untuk mereka kembali menyumbang kepada kemajuan akademik, negara dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pendapat Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid yang disiarkan akhbar tempatan pada Ahad lepas yang berpandangan gelaran prof emeritus ibarat hiasan dinding selain menegaskan universiti tidak mempunyai dasar yang jelas tentang kedudukan prof emeritus mereka.

Gelaran prof emeritus adalah gelaran dan pengiktirafan yang diberikan kepada individu yang telah menamatkan perkhidmatan mereka di jawatan profesor yang disandang selama lebih kurang 10 tahun selain dipilih menerusi sumbangan yang telah diberikan selama tempoh berkhidmat, reputasi yang tinggi dan impak individu yang telah diberikan kepada universiti.

Gelaran berkenaan juga boleh dipakai selama-lamanya meskipun individu berkenaan tidak lagi memberi sumbangan secara langsung atau tidak langsung kepada dunia akademik.

Berkongsi pandangan sama, bekas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor, Prof Emeritus Ir Dr Amir Hashim Mohd Kassim berkata semua universiti perlu menyediakan fasiliti dan program untuk semua yang dilantik sebagai prof emeritus agar mereka dapat berkongsi ilmu dengan warga universiti dan masyarakat.

“Ini bukan sahaja akan dapat menjayakan proses knowledge transfer (pemindahan pengetahuan) dan menjayakan program "mentor- mentee" tetapi juga akan dapat menaikkan reputasi dan kredibiliti universiti tempatan malah banyak profesor dan ahli akademik yang masih berminat untuk berkhidmat dan berkongsi pengalaman.

“Ia bukan sahaja dalam soal pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga dalam hal lain termasuklah penyelidikan, jaringan kerjasama dalam dan luar negara serta penulisan dan penerbitan buku juga makalah dalam jurnal. Gunakan pakar yang sedia ada untuk bergerak ke hadapan dan kalau ia dilakukan, isu rasa terpinggir atau tidak diberi peluang kepada prof emeritus tidak akan terjadi,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin ketika dihubungi berkata universiti berkenaan sentiasa menghargai jasa prof emeritus dan untuk itu mereka sentiasa diajak melibatkan diri dalam penulisan autobiografi, biografi dan memoir bagi berkongsi pengalaman dengan warga akademik.

-- BERNAMA