Image

AssalamualaikumWr. Wbth. dan Salam sejahtera

Dengan rasa syukur kehadrat Ilahi dan kata pujian ke atas Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada exco MAAC yang telah berusaha untuk mewujudkan laman web ini setelah MAAC diwujudkan semenjak 2015 secara rasminya.

Sebagai sebuah persatuan atau NGO (Non-Government Organizational) yang berdaftar di bawah ROS (Registrar of Society) pada April 2015, Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) dikategorikan sebagai sebuah badan NGO Akademik yang memfokus kepada isu-isu yang berlaku di Universiti Awam dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh ahli akademik di Universiti Awam. MAAC juga sentias amemberikan input kepada lain-lain NGO yang memperjuangkan hal ehwal berkaitan akademik dan kakitangan kerajaan seperti CUEPACS, GAKUM, NUTP dan GERAK.
Sejarah penubuhan MAAC bermula dengan pengwujudan Majlis Persatuan Akademik Malaysia (Malaysian Academic Association Council) yang membawa suara ahli akademik di Universiti Awam melalui penggabungan semua persatuan kakitangan akademik di Universiti Awam pada tahun 2008. Namun, setelah beroperasi selama 7 tahun sebagai sebuah majlis yang tidak berdaftar dengan mana-mana badan termasuk ROS, MAAC telah didaftarkan pada April 2015 agar ia boleh berkolaborasi dengan semua badan-badan kebajikan dan kakitangan awam serta akademik yang lain termasuklah CUEPACS, GAKUM dan NUTP. Peranan dan usaha berkolaborasi dengan persatuan dan organisasi lain akan memantapkan matlamat MAAC bagi membawa isu-isu tertentu seperti yang berkaitan dengan perkhidmatan, gaji, tugas serta beban kerja pensyarah dan warga universiti, kenaikan pangkat dan kriteria serta isu-isu berkaitan kebajikan serta masa depan warga akademik dan universiti amnya. Tanpa mendaftarkan MAAC ini, usaha kearah mewujudkan kerjasama strategik dengan badan-badan NGO yang berdaftar tidak dapat dilaksanakan. Justeru, ahli jawatankuasa MAAC pada tahun 2014/15 telah bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan MAAC dan mendaftarkannya di bawah ROS.
Semenjak penubuhan MAAC mulai 2008 sehingga kini, pelbagai isu telah dibawa kepada pengurusan tertinggi KPT, pihak JPA dan Kerajaan Malaysia, umumnya. MAAC pernah menganjurkan Majlis Bersama Perdana Menteri di Sri Perdana, Putrajaya dan beberapa konvensyen untuk mengupas isu akademik di universiti awam (KAKUAM 2016 dan KAKUAM 2018). Selain itu, MAAC juga telah berjaya menganjurkan BICARA MENTERI pada tahun 2019 yang telah memberikan banyak maklumat dan menyelesaikan banyak masalah yang disampaikan oleh ahli akademik yang hadir mewakili universiti masing-masing. MAAC melihat sesi interaksi di antara ahli akademik khususnya warga MAAC yang terdiri dari ahli akademik yang telah bersara, ahli akademik yang masih dalam perkhidmatan dan ahli akademik yang baharu adalah sangat baik dan bermanfaat untuk menajdi pemangkin kecemerlangan di kalangan waraga akademik di Universiti Awam. Saya juga percaya bahawa jika YB Menteri dan pengurusan tertinggi KPT sentiasa sudi berinteraksi dengan ahli akademik, seperti mereka yang dapat meluangkan masa untuk bersama-sama dalam program ini, pelbagai isu dan cabaran dapat di atasi khususnya yang mencakupi isu perlaksanaan autonomi, AUKU, Akta 605, Kebajikan Pesara Universiti Awam, Governans dan soal agihan Kewangan kepada aktiviti akademik dan pengurusan Universiti Awam.
Saya amat sukacita untuk mengumumkan bahawa walaupun bilangan ahli yang aktif di dalam MAAC adalah kecil berbanding dengan jumlah ahli akademik di seluruh Universiti Awam, iaitu sekitar 32,000 orang, namun saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan tahniah atas usaha berterusan yang telah dicurahkan oleh ahli yang aktif untuk seluruh warga akademik di Universiti Awam, baik Universiti Pernyelidikan, Universiti Fokus atau Universiti Teknikal melalui MAAC. Semoga Allah SWT akan memberikan ganjaran yang setimpal keatas usaha saudara-saudari semua.
Oleh itu, saya ingin menyeru semua ahli Kongres MAAC dan warga akademik supaya terus mencemerlangkan diri dan universiti demi agama, bangsa dan negara. Sebagai warga pendidik era moden pasca Wawasan 2020, kita seharusnya secara istiqamah meneruskan perjuangan generasi terdahulu untuk menjadikan universiti awam bukan sahaja sebagai menara gading tetapi sebagai gedung ilmu yang dihormati dan dirujuk. Kita seharusnya berbangga dengan kedudukan kita sebagai warga universiti awam dan bukannya menjadi sebahagian dari kumpulan anti-establishment yang sentiasa mencari salah dan silap kepimpinan di universiti tempat kita bertugas. Begitu juga dengan rakan akademik yang telah diamanahkan untuk menerajui universiti awam, ia bukanlah satu keistimewaan tetapi, adalah satu amanah dan tanggungjawab yang besar untuk kita pikul dan laksanakan. Janganlah apabila kita telah berada di puncak kepimpinan pengurusan universiti, kita lupa kepada rakan-rakan ahli akademik dan bukan akademik. Kita perlu ingat bahawa tanpa mereka, organisasi kita tidak akan mungkin dapat mencapai kecemerlangan seperti yang kita capai sekarang.
Akhirkata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya dan gunakanlah platform laman web MAAC ini sebagai wadah menyampai dan berkongsi maklumat khususnya dengan wujudnya kolum Berita Akademik MAAC. Semoga dalam situasi kekangan pandemik COVID19, kita akan dapat menyambut Hari Akademia pada setiap 5 Oktober dengan bersemangat dan penuh makna. Jadikanlah tahun 2021 sebagai tahun kita mewujudkan solidariti dan saling prihatin di antara warga akademik khususnya dan warga universiti, amnya.
Sekian, terima kasih.

(DATO PROFESOR DR. HJ. MOHD IDRUS HJ. MOHD MASIRIN)

Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC)

15 Januari, 2021