Image

AssalamualaikumWr. Wbth. dan Salam sejahtera

Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada April 2015. MAAC dikategorikan sebagai sebuah NGO akademik yang memfokuskan kepada isu-isu berkaitan universiti awam di Malaysia.

Antara tujuan penubuhan adalah menjaga kebajikan ahli akademik universiti awam sepanjang kerjaya mereka dan selepas bersara, meningkatkan profesionalisme kakitangan akademik dalam pengajaran, penyelidikan dan kepimpinan, serta bekerjasama menjayakan polisi kerajaan untuk kecemerlangan akademik negara.

Mengikut statistik pendidikan tinggi 2020, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia terdapat hampir 30,000 pensyarah di universiti awam dimana hampir 18,000 mempunyai kelayakan doktor falsafah dan 12,000 masters. Hampir 10,000 adalah dari universiti penyelidikan. Bilangan ini jika digembelingkan dengan baik, Malaysia mempunyai tenaga pakar yang  kuat dalam menghasilkan sumber manusia yang berilmu, berkemahiran dan berkepakaran di samping menyumbang kepada pendidikan tinggi antarabangsa. MAAC akan memfokuskan kepada semua hal kebajikan berkaitan kerjaya akademik pensyarah universiti awam bagi menjamin matlamat kecermelangan akademik yang selesa dan adil.

Kebajikan pensyarah bermula daripada tutor atau pengajian untuk ijazah doktor falsafah, semasa menjalankan tugas sebagai pensyarah dan faedah mereka selepas bersara akan terus diperjuangkan oleh MAAC. Segala perkara yang diperjuangkan adalah bagi memastikan hasrat kerajaan menjadikan universiti awam memainkan peranan penting dalam menghasilkan sumber manusia yang berkualiti dalam pelbagai bidang.

Bagi menjayakan hasrat ini kualiti pensyarah dan mutu perkhidmatan mereka mestilah terbaik dalam bidang masing-masing. Program peningkatan profesionalisme mereka mestilah berterusan melalui aktiviti penyelidikan, pengantarabangsaan, kepimpinan serta integriti dan memasyarakatkan ilmu pengetahuan, teknologi serta kemahiran. MAAC juga akan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi mencapai matlamat MAAC.

Kebanyakan perkara yang diperjuangkan sudah pun berada dalam sistem sekarang dan mesti diperkasakan agar visi kerajaan tercapai. MAAC melalui aktiviti berkala akan melihat segala aspek kebajikan pensyarah untuk kecemerlangan akademik negara. Antara aktiviti besar ialah Konvensyen Akademik Kebangsaan Universiti Awam Malaysia (KAKUAM) yang diadakan setiap dua tahun membincangkan segala aspek polisi kerajaan, perlaksanaan polisi, integriti pegawai akademik, pencapaian MAAC dan kebajikan pensyarah universiti awam. KAKUAM diadakan sejak 2016 dan pada tahun ini KAKUAM kali keempat dijangka akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah.

Akhir-akhir ini banyak isu berkaitan universiti awam dibincangkan dalam media. Antaranya ialah bilangan graduan PhD yang dihasilkan, kebolehpasaran graduan, faedah penerbitan oleh pensyarah universiti, kesediaan graduan untuk industri dan integriti kepimpinan universiti awam. Semua isu-isu yang dibangkitkan mesti mempunyai tujuan tertentu dimana akhirnya untuk faedah kepada negara amnya.

Dalam dunia akademik semua perkara yang dibincangkan mestilah merujuk kepada ilmu asas dan pembangunan ilmu untuk tujuan tertentu mengikut bidang kepakaran yang ada. Adalah menjadi tugas pemimpin universiti berkenaan memahami keperluan masa hadapan negara dan merancang pembangunan ilmu serta kepakaran di universiti masing-masing mengikut fokus dan kekuatan universiti selaras dengan keperluan negara.

Semua bidang perlu dilihat misalnya daripada kecukupan makanan negara, sosio-ekonomi masyarakat, kesihatan masyarakat, teknologi dan sistem berkaitan, pembangunan sumber manusia bidang berkaitan, isu alam sekitar hinggalah kepada keperluan kepelbagaian biologi negara. Kita akan dapati banyak konflik dalam membuat keputusan dan pengurusan negara sekiranya pembangunan ilmu, kepakaran dan memasyarakatkan ilmu tidak berlaku dengan baik.

MAAC dalam perbincangan berkala sesama ahli akademik universiti awam dan agensi lain sentiasa mencari jalan menjawab segala persoalan, memenuhi kehendak rakyat dan keperluan negara masa hadapan. Dapatan perbincangan dikemukakan kepada pihak bertanggung jawab. Diharapkan segala dapatan perbincangan akan mendapat perhatian dan tindakan sesuai pihak bertanggung jawab samada kerajaan, pihak swasta dan masyarakat setempat.

Kekakangan dimusim negara dilanda Covid-19 MAAC tidak dapat menjalankan perbincangan bersemuka dengan ahli-ahli. Walaupun dengan kemudahan komunikasi secara virtual, impak kepada perbincangan kurang bebanding dengan perbincangan bersemuka. Selama Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) ahtiviti perkongsian ilmu hanya dilakukan secara maya yang dilihat kurang mesra dan impaknya. Oleh sebab itulah ahli akademik secara tradisi selalu mengadakan seminar, konferens dan bengkel bagi membincangkan sesuatu isu secara bersemuka. Setiap bidang ilmu selalu dibincangkan dalam seminar, simposium, bengkel dan konferens secara bersemuka, berkongsi maklumat baharu dikalangan ahli akademik dan membuat resolusi unuk Tindakan sewajarnya. Dengan cara begini ilmu dikembangkan kepada masyarakat akademik, pelajar, masyarakat dan industri.

Bagi penemuan yang baharu dan data yang baik dikongsikan juga melalui penerbitan jurnal tempatan dan antarabangsa. Ahli akademik berlumba untuk menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal terkemuka kerana mendapat perhatian ramai. Dengan ramai ahli yang membaca dan merujuk maka jaringan baharu dapat diwujudkan dan pembangunan ilmu dapat berlaku dengan cepat. Kita perlu lebih ramai pensyarah menulis dan menerbitkan dalam jurnal popular dan berpengaruh. Tugas pensyarah mengajar, membimbing pelajar, menjalankan penyelidikan dalam bidang mereka, menerbitkaan makalah dan memasyarakatkan ilmu akan memajukan sesuatu bidang, menyumbang kepada masyarakat dan negara. Tugas yang kompleks dan murni ini semestinyalah dihargai dan mendapat ganjaran sepatutnya. Segala laluan untuk ahli akademik terus berjaya samada dalam bentuk prosedur atau birokrasi yang mudah, kenaikan pangkat dan lain-lain bentuk penghargaan serta pengiktirafan perlukan diberikan oleh pihak berkenaan. MAAC sentiasa bersama ahli akademik untuk negara yang tercinta.

PROFESOR DR. AHMAD BIN ISMAIL

Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC)

19 APRIL 2022